Bismillah, Ya Allah, selawat dan salam untuk Rasullullah S.A.W.,ampunilah dosa-dosa kami dan juga dosa-dosa orang tua kami, mudahkanlah semua urusan akhirat dan dunia kami. Izinkanlah setiap detik dan saat hidup kami, digunakan untuk berjuang menegakkan AgamaMU. Amin.
Bagaimana Hendak Jadi Pemborong :Bersedia Berniaga Secara Tukar Barang Dengan Pelanggan
Seni perniagaan ini adalah kunci kejayaan peniaga-peniaga Cina yang boleh lama bertahan di kawasan penempatan orang-orang Melayu di Teluk Intan, Titi Serong, Selinsing dan lain-lain pekan kecil di negeri Perak. Antara produk pelanggan yang mereka terima ialah pisang, kelapa, ubi, nenas, koko , telur ayam kampong, ayam kampong, telur itek dan lain-lain . Kaedah ini menguntungkan mereka kerana:
1.1) Mereka boleh menjadikan barangan tersebut sebagai bahan jualan mereka. Mereka akan menjual semula produk tersebut dengan mengambil sedikit keuntungan.
1.2) Mereka juga tidak perlu bersusah payah mencari bahan jualan. Mereka boleh terus fokus dengan perniagaan mereka.
1.3) Dengan kaedah ini, mereka boleh member perkhidmatan kepada pelanggan yang tidak mempunyai wang tunai untuk berbelanja. Perkhidmatan ini akan mewujudkan kesetiaan pelanggan. Pelanggan yang berpuashati akan terus membekalkan produk kepada mereka dan akan berbelanja semula di kedai mereka.
1.4) Produk yang diperolehi itu sebahagiannya dibayar dalam bentuk barangan asas seperti kicap, gula, tepung, rempah, bawang dan lain-lain. Mereka memperolehi keuntungan melalui harga barangan yang dijual.
1.5) Mereka akan memproses sebahagian dari barangan tersebut untuk meningkatkan nilai sesuatu barangan. Contohnya mereka akan memproses kelapa menjadi kelapa parut . Hasil sampingan kelapa parut adalah tempurung. Tempurung amat berharga dan mempunyai permintaan yang tinggi. Sekali lagi mereka memperolehi keuntungan yang mudah .
1.6) Mereka juga akan menjual bahan tersebut pada 3 harga yang berlainan untuk mendapatkan keuntungan yang optimium.
Contohnya pisang, mereka akan menjual di kedai dengan harga runcit setelah disikat dan digantung. Biasanya cukup laku pada hari jumaat dan hujung minggu.
Mereka juga menjual pisang-pisang kepada penjual goreng pisang dengan harga sedikit murah.
Mereka juga akan menjual pisang-pisang tersebut dengan pemborong yang lain dengan mengambil sedikit untung.
Waktu ini mereka akan menawarkan tepung dan minyak masak kepada penjual goreng pisang. Sekali lagi mereka membuat untung yang mudah dan melariskan jualan dengan senang.
1.7) Kaedah ini juga membolehkan kadar alir keluar tunai mereka rendah dan dalam masa yang sama mereka berjaya mendapat bekalan dan juga membuat jualan yang mudah dan menguntungkan.
1.8) Mereka juga mempunyai hubungan yang kuat dengan pemborong lain dari luar kawasan. Kita boleh perhatikan, kebanyakan pekedai membuat temu janji dengan orang-orang kampong, bila mereka boleh menghantar produk mereka ke kedai. Janji dilakukan sebab mereka sudah mempunyai pemborong lain yang akan datang ke kedai mereka dengan lori untuk membawa semua produk tersebut ke tempat lain. Dengan cara ini mereka boleh menjual semua produk tersebut dengan cepat dan mendapat bayaran tunai.
