Bismillah, Ya Allah, selawat dan salam untuk Rasullullah S.A.W.,ampunilah dosa-dosa kami dan juga dosa-dosa orang tua kami, mudahkanlah semua urusan akhirat dan dunia kami. Izinkanlah setiap detik dan saat hidup kami, digunakan untuk berjuang menegakkan AgamaMU. Amin.
Bagaimana Hendak Jadi Pemborong: Tawarkan Perkhidmatan Tambahan
Peniaga peniaga runcit Cina yang berniaga di dalam pekan ataupun di pinggir pekan menawarkan perkhidmatan tambahan yang istimewa untuk sesetengah pelanggan mereka. Antara perkhidmatan tambahan yang mereka tawarkan ialah:
1.1) Perkhidmatan membungkus dan membuat penghantaran secara percuma atau pun berbayar terus ke premis pelangan mereka. Perkhidmatan mereka cekap dan boleh dipercayai. Biasanya mereka akan menerima tempahan dari pelanggan mereka melalui panggilan telefon atau pesanan sms. Mereka mempunyai pekerja khas untuk tujuan tersebut.
1.2) Membuat penghantaran terus ke premis yang diminta oleh pelanggan mereka dengan percuma ataupun berbayar. Perkhidmatan mereka tepat pada masanya dan boleh dipercayai. Biasanya belian dilakukan oleh pegawai-pegawai masjid , surau dan juga pihak katering. Mereka ini akan pergi ke tempat lain dan mengarahkan peniaga tersebut menghantar barangan ke tempat yang lain. Contohnya, pegawai masjid pulang ke rumah, peniaga-peniaga akan menghantar barangan mereka ke masjid .
1.3) Perkhidmatan 1.1 dan 1.2 juga dilakukan oleh peniaga-peniaga Melayu, mereka juga cekap dan boleh dipercayai. Tetapi, peniaga-peniaga Cina ada menawarkan perkhidmatan yang lebih istimewa yang tidak dapat dilakukan oleh peniaga Melayu. Mereka menawarkan perkhidmatan pemasaran untuk produk-produk pelanggan pelanggan mereka.
Contohnya pisang. Mereka memasarkan pisang dengan tiga harga yang berbeza. Pertama, pisang disikat dan digantung, pisang pisang ini akan dijual pada pelanggan biasa. Boleh untung banyak sikit .
Kedua, mereka akan menjual sebahagian pisang yang telah disikat kepada penjual pisang goreng. Dalam masa yang sama, mereka juga menyediakan perkhidmatan yang disukai oleh penjual-penjual goreng pisang iaitu, mereka akan menyediakan stok tepung, gula dan minyak masak dengan harga yang menarik. Mereka akan berusaha supaya dan bekalan pisang sentiasa cukup untuk memenuhi permintaan harian peniaga-peniaga goreng pisang tersebut. Dengan ini peniaga-peniaga goreng pisang tersebut tidak perlu pergi ke tempat lain untuk menguruskan stok jualan mereka. Untung sederhana, boleh dapat lagi dari pakej jualan yang ditawarkan.
Ketiga, mereka akan mencari pemborong yang boleh mengambil pisang-pisang pelanggan mereka secara pukal. Biasanya pemborong-pemborong ini akan datang dengan lori dan membawa pisang-pisang tersebut ke tempat lain untuk dijual. Biasanya mereka meminta petani menghantar pisang-pisang tersebut sebelum tengah hari dan berjanji dengan pemborong untuk mengambil pisang tersebut pada sebelah petang. Pemborong pisang adalah pelanggan utama mereka. Oleh itu, lagi sekali mereka menawarkan perkhidmatan yang cekap & menguntungkan pelanggan mereka. Mereka akan memastikan kuantiti stok yang diperolehi boleh memberi keuntungan kepada pemborong tersebut untuk datang mengambil pisang yang telah dikumpulkan. Untung kecil, tapi laku banyak.
Mereka juga menganalisa keperluan petani. Mereka akan tawarkan barangan keperluan harian yang mereka jual seperti gula , tepung dan minyak masak . Mereka menawarkan input pertanian seperti baja & racun rumpai yang disimpan di tempat lain kepada petani tersebut. Petani biasanya amat suka dengan tawaran ini. Petani ini akan menjadi pelanggan mereka yang setia. Lagi sekali untung.
Kita dapat lihat di sini, keuntungan yang dibuat melalui perkhidmatan tambahan ini amat tinggi dan diluar duga. Oleh itu tidak hairanlah jika mereka berniaga kedai runcit, mereka boleh menawarkan harga yang agak murah kepada pelanggan, sebab perniagaan utama mereka sebenarnya adalah memborong pisang . Seni perniagaan ini amat sepatutnya difahami oleh bakal-bakal pemborong.
Strategi ini menyebabkan barangan di dalam kedai mereka mudah dijual.
